Wednesday, November 3, 2010
Cintaku Pada Yang Esa
Menerawang memikirkan betapa asyiknya cinta lantas membayangkan kepedihan saat bersendirian tanpa si dia di sisi. Memang sunyi. Itulah yang dikatakan kuasa cinta, sering diungkap dua sejoli. Kuasa cinta yang mampu menjadikan seseorang bertindak di luar jangkaan, mengubah diri seorang insan menjadi gila, kadangkala sanggup bertindak di luar batasan akal seorang insan.
Namun, cinta dan keimanan akan melahirkan keajaiban serta kekaguman, mengubah dunia yang suram menjadi terang serta membuatkan seseorang lebih peka mengenai kehormatan juga kemuliaan. Menurut pakar psikologi, cinta adalah himpunan nilai kemanusiaan yang di dalamnya menjelmakan makna sebenar manusia dan kerana itu, orang yang tidak mampu mencintai akan kehilangan makna sebagai manusia. Hilangnya cinta adalah kehancuran bagi manusia.
“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah. Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.
Firman Allah SWT :“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya. Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
Firman Allah SWT (yang bermaksud) :“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)
Posted by miss juju at 8:01 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment